Novel Destinasi Impian : Sinopsis Bab 1, 2, 3 (Novel Bahasa Melayu Tingkatan 1) 

Novel Destinasi Impian : Sinopsis Bab 1, 2, 3 (Novel Bahasa Melayu Tingkatan 1) 

Sinopsis Bab Demi Bab 

Sinopsis Bab 1

Johari bersama dengan sepupunya Azlina dan Firdaus menyahut cabaran datuk mereka untuk berbasikal ke Morib. Dalam perjalanan, Azlina dan Firdaus asyik bertelagah. Firdaus beria-ia mahu pulang ke rumah dan tidak mahu meneruskan perjalanan mereka manakala Johari dan Azlina ingin meneruskan rancangan asal mereka untuk berbasikal ke Morib seperti yang pernah dilakukan oleh datuk mereka suatu ketika dahulu. Johari terpaksa membuat undian dan ternyata undian telah dimenangi oleh Johari kerana mendapat sokongan daripada Azlina. Oleh itu, Firdaus terpaksa mengikut rancangan asal mereka.

Azlina yang merupakan olahragawati Sekolah Menengah Kapar kelihatan aktif dan tidak letih meneruskan kayuhan manakala Firdaus yang terpaksa menurut sering mengeluh keletihan. Dalam perjalanan, Johari tidak putus-putus menunjukkan tempat-tempat yang mereka temukan kepada sepupu-sepupunya seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah dan Istana Mahkota. Mereka juga melewati Kampung Jawa dan Jalan Kebun. Johari meminta mereka berhenti rehat seketika apabila mereka sampai di Jalan Kampung Johan Setia.

Azlina pula mengambil peluang mengambil gambar papan tanda yang berada di situ. Firdaus tidak menyenangi tindakan Azlina. Menurutnya, Azlina hanya membuang masa. Azlina mempertahankan tindakannya dengan menunjukkan kesalahan penggunaan bahasa pada papan tanda. Johari mengeluh melihat kesalahan penggunaan bahasa pada papan tanda seperti yang ditunjukkan oleh Azlina dan dia membetulkan kesalahan itu.

Kemudian, mereka meneruskan perjalanan sambil melihat kesan sejarah dan persekitaran. Dalam perjalanan tersebut, tayar basikal Firdaus kempis kerana tertusuk paku. Setelah paku dicabut, Johari mengarahkan Firdaus menunggang basikalnya manakala dia menuntun basikal Firdaus. Melihat keadaan itu, Azlina juga menuntun basikalnya menemani Johari.

Sinopsis Bab 2

Firdaus berasa sungguh penat dan berasa menyesal kerana mengikut rancangan gila abang sepupunya dan adiknya itu. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah sekali pun dia berpanas dalam tempoh yang agak lama. Terasa seluruh sendinya seakan-akan mahu tercabut. Dia tidak hairan melihat abangnya Johari begitu tenang mengayuh basikal memandangkan abangnya sememangnya suka berbasikal semenjak zaman sekolah rendah lagi tetapi dia begitu kagum akan kemampuan Azlina yang kelihatan cergas dan gembira walaupun mereka telah mengayuh selama empat jam setengah.

Firdaus teringat akan ekspedisi ini bermula daripada perbualan dengan datuk mereka yang mencabar mereka mengayuh basikal dalam jarak yang jauh. Selain itu, Firdaus juga juga teringat akan sindirian rakan-rakannya apabila mengetahui hasratnya hendak menyertai ekspedisi berbasikal ini. Tiba-tiba, Firdaus terjatuh kerana terlanggar seketul batu yang besar apabila terkejut mendengar hon kereta dari arah belakang. Dia tersedar daripada lamunan. Dia cedera ringan dan diubati oleh adiknya, Azlina. Johari meminta mereka meneruskan perjalanan mereka. Menurut Johari, kurang daripada satu kilometer dari situ, mereka akan menemukan sebuah masjid. Mereka akan berehat dan bersolat Zohor di situ sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Morib.

Sinopsis Bab 3

Azlina keletihan setelah mengayuh basikal sejak pukul 7:00 pagi. Sekarang, jam telah menunjukkan angka 12:00 tengah hari. Badannya telah dibasahi peluh, namun dia tidak mahu menunjukkan bahawa dia lemah di hadapan abangnya, Firdaus. Dia sudah berjanji dengan abang sepupunya, Johari untuk mencabar Firdaus agar mengatasi Azlina. Menurut Johari, persaingan itu ialah persaingan yang sihat. Azlina begitu mengagumi Johari yang sememangnya banyak membaca itu. Menurut Johari, masalah selalu timbul dalam kalangan bangsa apabila persaingan disertai oleh hasad dengki. Akibatnya, sama-sama tidak maju. Aku sangat bersetuju dengan pandangan Johari itu.

Sememangnya perbualan dengan Johari penuh dengan ilmu pengetahuan kerana dia gemar membaca. Dia tidak suka menonton televisyen atau wayang. Azlina menoleh ke belakang. Masih tidak kelihatan bayang-bayang Johari atau Firdaus. Azlina singgah di gerai air tebu dan membeli segelas air tebu. Dia meneguk rakus. Penjual air tebu begitu mengagumi Azlina apabila dia mendapat tahu bahawa Azlina mengayuh basikalnya dari Klang. Menurutnya, Azlina mempunyai semangat yang tinggi.

Azlina hairan kerana masih tidak nampak kelibat Johari dan Firdaus. Pada pandangannya, tentu Firdaus buat fasal. Abangnya itu merupakan seorang yang agak lembut perwatakannya kerana hanya dia seorang anak lelaki dalam keluarganya. Azlina selalu menyindir Firdaus bagi merangsang Firdaus untuk berubah menjadi lelaki yang gagah. Firdaus tidak pernah bermain bola sepak, sepak takraw, atau badminton. Perwatakan mereka sememangnya berbeza kerana Azlina lebih lasak berbanding dengan Firdaus. Mereka sering menjadi bahan ketawa dalam kalangan rakan-rakan di sekolahnya.

Tidak lama kemudian, Johari dan Firdaus pun tiba. Menurut Johari, dia terpaksa menunggu Firdaus yang berhenti rehat. Sekiranya tidak ditunggu, Firdaus akan balik dengan menaiki bas. Azlina mengejek Firdaus kerana dia mahukan seorang abang yang sememangnya seorang lelaki. Firdaus memarahi Azlina. Johari mengarahkan mereka akan meneruskan perjalanan dalam masa lima minit lagi bagi meleraikan pergaduhan dua beradik itu.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu. Bookmark the permalink.

Leave a comment