Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Merebaknya Penyakit Demam Denggi Dan Langkah-Langkah Bagi Menanganinya
Demam denggi merupakan penyakit yang tidak asing lagi bagi masyarakat yang tinggal di negara yang beriklim tropika. Demam denggi merupakan sejenis penyakit yang berjangkit melalui gigitan nyamuk aedes. Penyakit ini amat berbahaya kepada manusia sehingga boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan dengan segera. Tanda-tanda awal seseorang menghidap penyakit ini ialah sakit kepala, demam, sakit pada sendi, dan ruam pada anggota badan. Kes-kes yang melibatkan penyakit demam denggi acap kali dilaporkan melalui media massa. Statistik yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan pertambahan kes demam denggi secara mendadak dari tahun ke tahun. Hal ini amat membimbangkan beberapa banyak pihak. Turut membimbangkan lagi wabak yang berpunca daripada nyamuk aedes ini telah banyak meragut nyawa rakyat Malaysia sejak belakangan ini. Setiap tahun, Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit untuk merawat dan menyedarkan masyarakat tentang bahayanya penyakit demam denggi ini kepada manusia.
Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini dan langkah bagi mengatasinya?
Antara faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit ini ialah pengabaian kebersihan. Penyakit ini berpunca daripada sikap masyarakat itu sendiri yang tidak mementingkan kebersihan tempat tinggal masing-masing. Tinjauan yang dilakukan terhadap beberapa orang penghidap penyakit demam denggi ini menunjukkan bahawa tempat tinggal mereka berada dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Terdapat banyak kawasan dan bekas makanan yang menjadi tempat air bertakung. Kawasan yang ditakungi air seperti kolam, bilik air, pasu bunga, tayar-tayar yang terbiar, dan sebagainya merupakan tempat yang menjadi habitat bagi nyamuk aedes. Nyamuk-nyamuk aedes ini akan menggunakan kawasan yang ditakungi air ini sebagai tempat untuk membiak. Semakin banyak kawasan yang menjadi takungan air, maka semakin cepatlah nyamuk aedes membiak. Oleh itu, jelaslah bahawa persekitaran yang kotor boleh menyebabkan merebaknya penyakit demam denggi.
Seterusnya, sikap alpa dan tidak cakna masyarakat terhadap struktur binaan rumah juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan merebaknya penyakit demam denggi. Hal ini dapat dilihat melalui reka bentuk rumah masyarakat kini. Mereka mementingkan reka bentuk atau struktur binaan rumah yang berunsurkan kemodenan sehingga mengabaikan spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Keadaan bumbung rumah dan saluran air di atas bumbung yang tidak mengikut spesifikasi boleh menyebabkan air hujan bertakung. Hal ini akan mengundang padah kepada orang yang tinggal di dalam rumah tersebut. Oleh itu, langkah keselamatan haruslah diambil agar keselamatan isi rumah terjamin. Pepatah Melayu ada menyebut “sediakan payung sebelum hujan”. Pihak pemaju perumahan juga seharusnya prihatin terhadap struktur binaan rumah sebelum melaksanakan projek tersebut. Hal ini dapat mengelakkan masalah yang mungkin timbul pada masa hadapan. Jadi, jelaslah bahawa sikap alpa masyarakat setempat menjadi faktor merebaknya penyakit ini.
Di samping itu, faktor kejiranan juga menyumbang kepada merebaknya penyakit berjangkit ini. Pada era globalisasi kini, masyarakat semakin sibuk dengan urusan masing-masing sehingga lupa akan tanggungjawab mereka terhadap kawasan tempat tinggal mereka sendiri. Sebahagian besar masa mereka dihabiskan di tempat kerja. Sebagai akibat menjalankan tugas yang berbagai-bagai atau tidak terlibat dalam aktiviti yang dianjurkan di tempat tinggal, maka semangat kejiranan serta sikap saling membantu dan bekerjasama dalam kalangan penduduk kian berkurang. Semangat kejiranan yang longgar dan perpaduan masyarakat yang semakin ampuh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes semakin berleluasa. Hal ini demikian kerana perpaduan yang lemah menyebabkan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong tidak dapat dilaksanakan. Hal ini seterusnya akan mewujudkan kawasan persekitaran yang tidak bersih dan sekali gus dapat memberikan peluang kepada nyamuk aedes untuk membiak. Jelaslah bahawa semangat kejiranan yang semakin luntur dalam kalangan masyarakat menyebabkan penyakit ini semakin merebak.
Antara inisiatif untuk menyekat penularan penyakit demam denggi termasuklah mengadakan kempen kesedaran. Untuk menangani penyakit demam denggi, kempen kesedaran perlu dilaksanakan secara sistematik dan bersepadu. Kempen seperti ini haruslah dilaksanakan di semua tempat terutamanya di kawasan luar bandar. Hal ini demikian kerana penduduk di kawasan luar bandar kurang mendapat informasi berkaitan dengan penyakit ini berbanding dengan penduduk di kawasan bandar. Oleh itu, kempen kesedaran amat penting supaya mereka lebih tahu tentang bahayanya penyakit demam denggi. Hal ini boleh membantu mereka supaya lebih berjaga-jaga. Untuk menjayakan usaha ini, Kementerian Kesihatan Malaysia perlu menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi lain bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan penjagaan kebersihan. Kerjasama yang terjalin ini seterusnya dapat membentuk perpaduan dan seterusnya dapat menangani masalah ini dengan segera. Oleh itu, kempen kesedaran perlu dilaksanakan dengan lebih giat supaya penyakit demam denggi dapat ditangani.
Selain itu, pihak kerajaan juga perlulah menetapkan undang-undang baharu yang lebih ketat tentang penjagaan kebersihan di kawasan tempat tinggal. Penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilaksanakan secara tegas dan lebih konsisten. Pihak berkuasa perlu memantau semua tempat termasuk kawasan penginapan dan premis perniagaan bagi memastikan nyamuk aedes tidak membiak. Denda yang lebih tinggi perlu dikenakan kepada pemilik kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Hal ini akan membuatkan seseorang itu lebih berjaga-jaga terhadap penjagaan kebersihan kawasan persekitaran dan tempat tinggal. Di samping itu, badan bukan kerajaan juga perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memantau kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Kerjasama sangat diperlukan oleh semua pihak kerana “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Malah undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi mengatasi penularan demam denggi.
Kesimpulannya, masyarakat tidak boleh hanya menunding jari kepada pihak lain apabila berlakunya masalah seperti ini. Hal ini demikian kerana sikap masyarakat itu sendiri yang tidak mementingkan kebersihan merupakan punca utama yang menyebabkan merebaknya penyakit ini. Usaha untuk memerangi nyamuk aedes merupakan tanggungjawab semua pihak. Oleh itu, semua pihak sama ada yang tua mahupun yang muda perlu menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi menangani penyakit demam denggi. Jika pihak kerajaan dan masyarakat setia sekata dan berganding bahu, penyakit demam denggi yang menjadi kerisauan masyarakat di seluruh negara dapat dikurangkan. Segala usaha yang dilakukan adalah untuk kesenangan rakyat di negara ini. Oleh itu, untuk menjayakannya “tepuk dada tanyalah selera”, dan “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.
.