Novel Destinasi Impian : Sinopsis Keseluruhan (Novel Bahasa Melayu Tingkatan 1)

Novel Destinasi Impian : Sinopsis Keseluruhan (Novel Bahasa Melayu Tingkatan 1)

Sinopsis Keseluruhan :

Johari, Azlina, dan Firdaus telah menyahut cabaran datuk mereka untuk melakukan ekspedisi berbasikal dari Klang ke Morib. Mereka ingin membuktikan kepada datuk mereka bahawa mereka juga boleh berbasikal ke Morib seperti yang pernah dilakukan oleh datuk mereka suatu ketika dahulu. Azlina dan Johari yang sememangnya gemar akan sukan lasak ini kelihatan gembira menyahut cabaran datuk mereka berbanding dengan Firdaus yang bersifat agak manja. Firdaus menganggap bahawa ekspedisi berbasikal itu sebagai kerja gila.

Azlina dan Johari ingin melakukan ekspedisi berbasikal tersebut supaya Firdaus menjadi seorang lelaki yang tahan lasak berbanding dengan perwatakannya yang agak lembut dan gemar akan kerja-kerja yang dilakukan oleh orang perempuan. Oleh itu, Azlina kerap mencabar dan menyakiti hati Firdaus agar Firdaus menyahut cabaran mereka.

Sepanjang perjalanan sejauh lebih 50 kilometer itu, pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh mereka termasuk kerenah Firdaus yang kerap merungut kerana keletihan. Sikap Firdaus yang tidak sabar itu menyebabkan kerap berlakunya konflik antara dia dengan adiknya, Azlina. Walau bagaimanapun, Johari sepupu kepada Azlina dan Firdaus yang lebih dewasa lebih bersikap sabar dan bijak dalam menghadapi kerenah mereka. Setelah hampir lapan jam berkayuh dan berhenti rehat beberapa kali, mereka pun tiba di pantai Morib dengan didahului oleh Firdaus.

Ketibaan Firdaus disambut oleh rakan-rakannya. Dia berasa amat bangga tambahan pula Mazlinda turut berada di situ. Mereka tidak jadi menonton wayang kerana mahu menyambut ketibaan Firdaus. Hari jadi Mazlinda juga telah ditunda memandangkan ibu bapanya terpaksa keluar daerah. Firdaus juga membohongi kawan-kawannya dengan mengatakan bahawa perjalanan mereka mengambil masa yang lama kerana adiknya Azlina sering berhenti rehat. Firdaus juga tidak mempedulikan ketibaan Azlina dan Johari.

Sementara itu, Johari dan Azlina disambut oleh rakan-rakan kolej Johari dan mereka menginap di khemah yang berlainan dan agak jauh dari khemah Firdaus. Dua orang rakan Firdaus, iaitu Sazali dan Moksin yang tidak mempercayai cerita Firdaus berjumpa dengan Azlina. Mereka bertanyakan kebenaran cerita Firdaus, iaitu kelewatan mereka tiba di Pantai Morib kerana Azlian ketihan dan sering berhenti rehat. Azlina menceritakan perkara yang sebenar kepada mereka. Sazali dan Mohsin bertekad untuk memaksa Firdaus mengakui perbuatannya. Pada malamnya, Firdaus bermimpi dirinya lemas setelah dihumban ke dalam laut oleh Sazali dan Moksin kerana berbohong. Mimpi tersebut telah menyedarkan Firdaus akan kesalahannya berbohong dan mula berasa takut.

Pada keesokan harinya, Johari dan Azlina ingin bertolak pulang tetapi Firdaus tidak mahu menyertai mereka. Pada mulanya, Azlina tidak sampai hati hendak meninggalkan abangnya tetapi setelah dipujuk oleh Johari, akhirnya mereka berbasikal pulang berdua sahaja. Sementara itu, Firdaus dan rakan-rakannya bergembira mandi-manda di laut. Dalam kegembiraan itu, Mazlina lemas dan cuba dibantu oleh Firdaus, tetapi dia hampir lemas kerana tidak pandai berenang.

Sebaik sahaja sedar, Firdaus susah berada di hospital. Sebenarnya, Mazlinda berpura-pura lemas kerana ingin menguji Firdaus. Firdaus berasa malu dan sedar akan sikapnya yang angkuh. Firdaus juga menerima teguran Johari secara positif.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu. Bookmark the permalink.

Leave a comment