Sinopsis Bab 25, 26, 27, 28 (Novel Tingkatan 5)

Novel Songket Berbenang Emas : Sinopsis Bab 25, 26, 27, 28 (Novel Tingkatan 5)

Bab 25: Inilah Kampungku!

Banjir telah menyebabkan rumah Embong roboh . Nek Kiah telah mengajak Embong sekeluarga tinggal di rumahnya. Mereka bersyukur akan perubahan Nek Kiah. Nek Kiah juga tidak lagi menyebut tentang tanah yang hendak dijual itu.

Sebelum semua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing, Haji Sulaiman telah menyampaikan ucapan kepada penduduk Kampung Parit Haji Rais. Beliau menyeru agar penduduk kampung saling membantu antara satu sama lain dan prihatin akan masalah jiran tetangga. Beliau juga berharap supaya penduduk kampung bersatu dan bersama-sama menjayakan apa-apa projek di kampung itu keran mereka hidup bermasyarakat.

Kesan daripada kata-kata Haji Sulaiman, penduduk kampung itu mulai insaf dan mereka telah bergotong-royong  membina rumah Embong semula dengan wang sumbangan parti. Haji Sulaiman bangga akan perubahan sikap penduduk kampungnya. Begitu juga dengan Tauke Lim. Dahlia amat terharu dan terasa dirinya tidak disisihkan. Tauke Lim mengusik Dahlia, rumah baharu nanti bolehlah dia naik pelamin.

 

Bab 26: STPM, akan Kugapai Kecemerlangan

Dahlia sibuk membuat persiapan terakhir sebelum peperiksaan STPM menjelang. Dalam kesibukan itu, Azhari telah datang dengan ibunya bagi membincangkan tarikh pertunangan mereka. Keputusan dibuat pada 30 Disember, iaitu selepas Dahlia tamat peperiksaannya. Dahlia hanya menurut sahaja kehendak keluarga Azhari dan keluarganya.

Selepas tamat peperiksaan, Dahlia berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawannya. Dahlia juga memberitahu Siti Wangi dan Kavita tentang pertunangannya. Dahlia juga bercadang untuk bekerja di kilang untuk mencari pengalaman.

Bab 27: Bunga-bunga Kejayaan dalam Genggaman

Cikgu Daim telah datang ke rumah Embong untuk memberitahu bahawa Dahlia telah terpilih untuk mengikuti pengajian di salah sebuah universiti di  Jepun selama empat tahun. Pemilihan Dahlia dibuat atas cadangan sekolahnya dan Jabatan Pelajaran Johor berdasarkan pencapaiannya dalam peperiksaan. Sebelum bertolak ke Jepun Dahlia akan belajar bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan.

Azhari terdengar berita itu ketika dia datang untuk membeli cincin pertunangan mereka. Dia mengucapkan tahniah dan merelakan Dahlia belajar di Jepun. Dahlia akan mendaftar di Universiti Malaya sehari selepas dia bertunang dengan Azhari.

Bab 28 : Koi-bito

Dahlia amat gembira kerana hubungan keluarganya dengan Nek Kiah semakin rapat. Akan tetapi, Dahlia rasa sedikit berduka kerana dia akan ke Kuala Lumpur selepas pertunangannya. Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusaka kepada Dahlia.

Dahlia teringat kembali kenangannya sewaktu pergi membeli cincin dengan Azhari. Kawan –kawan Dahlia  dan Cikgu Hisyam turut hadir sewaktu majlis pertunangannya. Bas ke Kuala Lumpur akan bertolak pukul 5:00 petang tetapi rombongan keluarga Azhari belum juga sampai. Dahlia semakin risau. Abahnya menyuruh Dahlia berkemas untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung kepada Dahlia sebanyak RM500 termasuk yang diberi oleh Tauke Lim sebanyak RM300.

Akhirnya, Dahlia tiba di stesen bas Bandar Penggaram yang jauhnya kira-kira 17 kilometer dari kampungnya. Azhari datang berjumpa dengan Dahlia  dan memberitahu punca kelewatannya kerana jurucakap majlis yang merupakan pak ciknya lambat sampai. Sebelum menaiki bas, Azhari telah menghadiahkan sehelai songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari juga .menyebut “Koi-bito” yang tidak diketahui maksudnya. Azhari meminta Dahlia agar menjaga jati diri sebagai orang Melayu walau berada di mana-mana pun.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu. Bookmark the permalink.

Leave a comment