Peranan Pelbagai Pihak Untuk Memupuk Minat Bersukan Dalam Kalangan Remaja

Minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini semakin berkurangan. Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.

“Berikan saya sepuluh remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah lontaran suara Presiden Indonesia, Soekarno tentang kepentingan remaja yang merupakan tiang sandaran konkrit untuk memacu kemajuan negara pada masa hadapan. Malaysia amat memerlukan remaja berwawasan menelusuri arus pemodenan untuk melangkah dengan seribu kekuatan menerusi aktiviti sukan. Usaha murni Kementerian Pelajaran mewajibkan Program 1Murid 1Sukan menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi ke arah menjulang negara ke puncak jagat untuk membentuk generasi muda yang sihat, proaktif, dan berdaya saing. Namun sayang seribu kali sayang, minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini semakin berkurangan. Aspirasi yang diwara-warakan oleh kerajaan tidak mampu direalisasikan sekirannya semua pihak memandang enteng dengan sekadar membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap permasalahan ini dalam mengharungi masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan. Memetik ungkapan badan sihat, otak cerdas, semua pihak perlu mengorak langkah mengatur langkah sederap berasaskan rasa tanggungjawab bersama bagai aur dengan tebing untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.

Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak untuk mengembalikan minat remaja untuk bersukan?

Dunia semakin canggih, taraf hidup masyarakat semakin meningkat dan hal ini menuntut rakyat saling bersaing bagi membuktikan keunggulan masing-masing setelah lima dekad menghirup udara kemerdekaan demi mengharumkan nama negara tercinta. Remaja memainkan peranan utama bagi membuktikan keupayaan mereka mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang dalam mengetengahkan semangat kesukanan sebagai asas pembentukan masyarakat sakinah dan membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah. Kesedaran remaja amat diperlukan agar dapat menyerlahkan potensi dan bakat mereka dalam bidang sukan yang mampu membina kekuatan dan sahsiah diri. Dunia memandang tinggi terhadap pencapaian generasi muda yang aktif bersukan menerusi penganjuran Sukan Olimpik, Sukan Komanwel dan Sukan SEA yang cukup berprestij bagi melahirkan atlet pelapis yang berwibawa. Remaja tidak harus menafikan bahawa mereka memikul peranan yang cukup besar untuk meningkatkan imej negara di mata dunia. Lihatlah hari ini Malaysia cukup berbangga dengan lahirnya permata negara seperti Datuk Lee Chong Wei, jaguh badminton negara dan Pandalela Rinong, perenang wanita negara yang seharusnya dijadikan ikon oleh para remaja untuk berkecimpung dalam lapangan sukan yang ternyata banyak manfaatnya. Negara juga bertuah memiliki sebutir bintang bernama Datuk Nicol Ann David yang kini gah merangkul gelaran Ratu Skuasy Dunia. Rekod kejayaan cemerlang para atlet negara perlu dijadikan sebagai motivasi dan pembakar semangat remaja agar lebih meminati aktiviti sukan di samping usaha kental yang mungkin dapat menjadikannya laluan kerjaya suatu hari nanti kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Ibu bapa menjadi cerucuk utama pembangunan keluarga dalam melahirkan remaja yang minat bersukan. Ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak yang usianya masih setampuk pinang dan tidak mampu membezakan antara intan dengan kaca. Sebagai suri teladan, ibu bapa sewajarnya menunjukkan minat bersukan yang mendalam agar tidak dikatakan seperti aforisme seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa seharusnya mempengaruhi minda generasi muda untuk menjadikan aktiviti sukan sebagai rutin harian sejak kecil seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tamsilnya, anak-anak seharusnya dibawa oleh ibu bapa untuk bersama-sama ke kompleks sukan untuk bermain badminton, berenang, dan sebagainya bagi memantapkan nilai-nilai kesukanan dalam jiwa remaja dan mengeratkan wasilah kekeluargaan. Nasihat yang berguna tentang maslahat aktiviti sukan haruslah ditekankan oleh para ibu bapa agar persepsi negatif anak-anak terhadap bidang tersebut dapat dikikis. Sebaliknya sukan bukan sahaja menjanjikan kemantapan fizikal malah membina keyakinan mental yang positif dalam kalangan remaja. Dengan kata lain, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menampilkan wajah baru anak-anak yang disulami tekad untuk bersukan demi keseimbangan jasmani dan rohani diri.

Peranan seterusnya dalam memupuk remaja meminati sukan digalas oleh pihak sekolah yang seyogianya memastikan semua pelajar menyertai aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah. Meskipun dasar 1Murid 1Sukan diwajibkan di semua sekolah, namun pihak sekolah harus membimbing pelajar-pelajar memenuhi impian agar tiada pelajar yang tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Pihak sekolah harus membetulkan tanggapan pelajar yang masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit bahawa aktiviti sukan kononnya hanya untuk atlet sekolah dan mereka yang bercita-cita untuk menceburi bidang sukan sahaja serta mengganggu tumpuan pembelajaran. Guru-guru juga sewajarnya menjalankan obligasi dengan mendedahkan kepentingan bersukan seperti menyertai Kelab Hoki, Kelab Olahraga dan sebagainya bagi keperluan 10 peratus markah kemasukan pelajar ke universiti. Pelajar-pelajar harus diterapkan hakikat bahawa kelulusan akademik semata-mata bukanlah tiket jaminan untuk mereka berjaya menempatkan diri di menara gading jika tidak diseimbangkan dengan kecemerlangan dalam arena sukan. Tindakan tegas juga haruslah diambil oleh guru-guru penasihat sekiranya para pelajar gagal menghadirkan diri dalam aktiviti kokurikulum di sekolah tanpa mengemukakan alasan yang munasabah. Oleh yang demikian, kesedaran terhadap kepentingan penglibatan para pelajar perlu dibajai kembali oleh pihak sekolah demi membangunkan generasi yang berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berilmu.

Seorang cendekiawan Barat pernah memfasiqkan, “Pokok utama kemajuan seseuatu bangsa ialah jiwa yang hidup”. Berlandaskan kata-kata tersebut maka kerajaan harus menjalankan peranan dengan membina lebih banyak infrastruktur seperti pusat sukan dan taman rekreasi secara percuma bagi membolehkan rakyat terutamanya remaja berpeluang melakukan pelbagai aktiviti sukan untuk menghidupkan semula budaya sukan dalam atma mereka. Keprihatinan kerajaan dengan menubuhkan sekolah-sekolah sukan di seluruh negara menjadi landasan terbaik untuk menyuburkan minat bersukan dalam kalangan anak-anak muda memaksimumkan kemampuan mereka. Kerajaan juga sewajarnya menumpukan usaha dengan mencari jurulatih berpengalaman untuk membentuk ahli sukan bertaraf dunia. Biasiswa sukan juga wajar diperluas kepada lebih ramai pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang dalam bidang sukan di samping peluang untuk berkhidmat dalam bidang tersebut bagi menggalakkan remaja lebih serius meminati sukan. Oleh itu, kerajaan dapat memajukan taraf bangsa dengan menyediakan prasarana sukan mencukupi agar dijadikan sumber inspirasi remaja agar dapat menggapai cita yang luhur.

Akhirulkalam, hulurkan tanganmu, bukalah hatimu dan lapangkanlah mindamu untuk bersama-sama menyokong hasrat murni ke arah hidup sihat sejahtera kerana sukan memajukan masyarakat dan negara. Generasi pelapis yang memiliki minda kelas pertama dan jati diri unggul akan sentiasa mengutamakan kesejagatan dalam hidup dengan menjadikan sukan sebagai amalan hidup agar nilai keinsanan yang syumul dapat dipupuk kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Manhaj-manhaj yang istiqamah, proaktif, pragmatik, dan jitu mestilah digerakkan mulai sekarang kerana perjalanan beribu batu bermula dari langkah yang pertama.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu, Karangan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s